M Update, 28/08/2019 – Seorang pelajar kolej nyaris maut selepas terjatuh 24 meter dari balkoni kediamannya ketika melakukan aksi yoga di sisinya.
Gambar Alexa Terrazas, 23, melakukan aksi berkenaan hanya beberapa minit sebelum tergelincir dan jatuh tular di media sosial dengan badannya yang terbalik diimbangkan atas susur balkoni berkenaan yang terletak di tingkat enam bangunan itu.
Alexa dilaporkan terjatuh ke jalan di bawah bangunan itu dengan kejadian berlaku di Nuevo Leon, Sabtu lalu, lapor Mail Online.
Menurut laporan dia terpaksa menjalani pembedahan selama 11 jam dan berjaya diselamatkan namun masih kritikal setakat Isnin lalu akibat retak pada kedua-dua kaki, lengan, pinggul dan kepala.
Portal berita tempatan, El Imparcial melaporkan Alexa mungkin tidak dapat berjalan untuk tiga tahun sehingga kakinya pulih sepenuhnya. Ia turut memetik jiran mendakwa dia sering melakukan aksi berkenaan di balkoninya.