Input your search keywords and press Enter.

SK & SMK Tanjung Adang Dibuka Semula

M Update, 28/8/2019 – Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang yang sebelum ini diarahkan tutup selama dua hari berikutan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang dekat Gelang Patah, di sini, dibuka semula seperti biasa pagi ini.

Sebahagian pelajar juga dilihat hadir dengan memakai topeng muka walaupun berdasarkan pemerhatian, keadaan udara di kawasan sekitar tidak berkabus atau berasap, namun bau terbakar masih boleh dihidu.

Pengetua SMK Tanjung Adang Noor Hafizah Abdul Wahab berkata pihak sekolah merasa lega dan bersyukur kerana tiada lagi asap kelihatan pada awal pagi ini dan cuaca agak mendung.

Berbanding pada hari pertama dan kedua kebakaran, tiada lagi jelaga kebakaran boleh dilihat hari ini.

Pelajar yang mengalami masalah kesihatan dinasihatkan supaya tidak datang sekolah hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebarang aktiviti luar juga ditangguhkan dan pelajar juga harus pulang sebaik sesi persekolahan hari ini tamat.

Kebakaran hutan yang bermula Rabu lepas dengan melibatkan kawasan seluas 16 hektar dipercayai berpunca akibat cuaca panas dan kering.

Setakat semalam, 70 peratus daripada kebakaran berjaya dipadamkan dan teknik ‘banjir sepenuhnya’ akan digunakan JBPM dengan fokus kepada baki 30 peratus kawasan yang masih terbakar.

Sehingga kini, 140 anggota dan 30 aset JBPM digunakan dalam operasi pemadaman selain dibantu agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor.

Sumber : Bernama

Leave a Reply