Input your search keywords and press Enter.

Kerjasama PTPTN Bantu Cari Pekerjaan

M Update, 30/8/2019 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan tiga agensi bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tiga agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Agensi Pekerjaan JobStreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata sebagai peneraju pinjaman pendidikan PTPTN melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut dirasai PTPTN.

“PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada peminjam, langkah itu diambil bagi membantu mengatasi masalah ini.

“la di luar bidang kuasa dan fungsi PTPTN, namun pendekatan ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian,” katanya.

Wan Saiful berkata kerjasama melalui MoU itu sekali gus akan meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan dijangka memanfaatkan satu juta peminjam.

Kerjasama itu juga diharap membantu peminjam PTPTN yang terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

“Ia diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik, katanya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat NCCIM, Don Nazwin Don Najib, berkata MyJobs di bawah NCCIM adalah platform untuk majikan mempromosikan kekosongan jawatan dan juga saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN mencari peluang pekerjaan.

“Platform ini akan dapat membantu membina pangkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutama kesemua ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera.

“Sejumlah 650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM akan menyediakan keperluan pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan sama ada bertaraf kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebelum peserta mendapat pekerjaan tetap lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Negara Jobstreet.com Gan Bock Herm, berkata JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar dalam dan luar negara.

Selain itu, microsite JobStreet.com diwujudkan untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.

“Perkhidmatan tambahan secara percuma turut disediakan kepada peminjam PTPTN meliputi penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temu duga dan penyediaan resume,” katanya.

Leave a Reply