Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Tiada Keperluan Lanjutkan Had Usia Persaraan

M Update, 4/9/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada dilanjutkan kepada 65 tahun.

Beliau berkata, secara rasionalnya, sebahagian besar individu pada lingkungan usia itu tidak lagi mampu untuk bekerja secara cekap selain berdepan beberapa kekangan berkaitan, termasuk faktor kesihatan.

“Zaman saya dulu, kita pernah menaikkan had usia persaraan ini daripada 55 ke 56 tahun sebelum dilanjutkan kepada 60 tahun oleh kepemimpinan (negara) selepas saya. Bagi saya, cukuplah sampai 60 tahun itu,” katanya.

Dr Mahathir dijadualkan berlepas ke Vladivostok, Russia hari ini bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur 2019. Kenyataan Dr Mahathir itu sebagai mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya had usia persaraan di Malaysia dilanjutkan kepada 65 tahun seperti dilakukan dalam kalangan negara maju, termasuk Singapura.

Perdana Menteri, ketika mengulas lanjut, berkata had usia persaraan 60 tahun yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini sudah cukup memadai dan tiada keperluan untuk ia dilanjutkan.

“Jangan samakan dengan saya….saya sudah dan pernah bersara tetapi ‘dipanggil’ semula untuk bekerja,” katanya.

Dr Mahathir juga senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyatakan langkah melanjutkan usia persaraan itu akan menghalang golongan belia mengisi jawatan bersesuaian dalam sektor pekerjaan.

“Jika kita tetapkan pegawai bersara pada usia 65 tahun… bila tidak pencen-pencen, susah untuk orang lain (yang lebih muda, berkemahiran dan berkelayakan) untuk duduk di kerusi itu,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply