Input your search keywords and press Enter.

Keselamatan Jalan Raya Ketika Jerebu

M Update, 19/9/2019 – Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pemanduan dan penunggangan yang lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jalan raya ketika musim jerebu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti Zaharah Ishak berkata walaupun rekod daripada pangkalan data Polis Diraja Malaysia menunjukkan kemalangan lebih banyak berlaku ketika cuaca baik disebabkan sikap memandu laju, namun risiko kemalangan dalam cuaca buruk juga tidak rendah disebabkan permukaan jalan licin dan masalah penglihatan yang terhad.

Miros telah menggariskan beberapa panduan keselamatan jalan raya bagi membantu pengguna jalan raya memandu dan menunggang dalam keadaan cuaca buruk ini.

“Dalam keadaan berjerebu ini sudah pasti menjejaskan jarak penglihatan, oleh itu pengguna jalan raya diminta memastikan semua lampu kenderaan berfungsi dengan baik dan hidupkannya bagi menambah tahap kebolehlihatan pengguna jalan raya lain.

“Elak menggunakan lampu tinggi kerana partikel air yang wujud dalam udara boleh membias serta memantulkan cahaya itu dan hanya gunakan lampu tinggi jika perlu. Sekiranya jarak penglihatan sangat terhad, nyalakan lampu kabus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kadar pencahayaan yang tinggi daripada lampu kabus ini boleh meningkatkan kadar kebolehlihatan.

Selain itu, katanya jarak penglihatan yang terhad akibat jerebu, memerlukan pemandu lebih peka terhadap persekitaran dan mereka perlu memperlahankan kelajuan berbanding tahap kelajuan yang biasa untuk memberi ruang bertindak sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

“Ruang selamat juga boleh ditingkatkan dengan menambah jarak mengekori kenderaan di hadapan. Bergantung kepada keadaan semasa, jarak mengekori boleh berubah dari empat sehingga 12 saat. Ruang selamat ini penting bagi memastikan pemandu sempat bertindak seperti secara tiba-tiba sekiranya perlu dalam situasi kecemasan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati penunggang motosikal supaya memakai pakaian berwarna terang atau jaket pemantul cahaya serta berhenti di tempat selamat seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

Pejalan kaki pula, katanya perlu lebih peka terhadap keadaan sekeliling dan hanya melintas di tempat yang ditetapkan kerana dikhuatiri pemandu atau penunggang tidak dapat melihat mereka.

Sumber : Bernama

Leave a Reply