M Update, 24/09/2019 – Beberapa kawasan di selatan Thailand kini dilanda jerebu dengan kualiti udara di Phuket dan Hat Yai sudah mencapai tahap tidak sihat.
Memetik laporan Straits Times, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Phuket mencecah 158 pada jam 9 pagi ini, namun menurun ke 119 pada tengah hari.
Manakala IPU di daerah Songkhla meningkat kepada 161 pada tengah hari.
Jabatan Kawalan Pencemaran dalam kenyataannya berkata, partikel jerebu PM2.5 di Phuket diukur pada 57 mikrogram setiap meter padu dan tahap itu dianggap berbahaya kepada kesihatan.
Susulan itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana mengeluarkan amaran untuk melakukan aktiviti luar termasuk memandu, berlayar dan membuat pembakaran terbuka.
Orang ramai diminta memakai topeng serta menutup pintu dan tingkap dengan rapat.
Jerebu dilaporkan lebih tebal di pantai Phuket berbanding kawasan tengah bandar itu kerana dilindungi pergunungan yang menghalang asap dari ditiup ke dalam pulau.
Namun, pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dalam kenyataannya kepada The Straits Times berkata setakat ini belum ada penerbangan dibatalkan atau berlaku gangguan.
Minggu lalu, jerebu dilaporkan menyelimuti wilayah Yala dari Khamis hingga Sabtu lalu sebelum hilang.