M Update, 30/9/2019 – Tindakan tegas termasuk mengheret ke mahkamah akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan tanda logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di beberapa produk yang tidak mendapat pensijilan halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kesalahan itu adalah di bawah Akta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2011 dan pihaknya akan bekerjasama bagi penguatkuasan undang-undang itu. Katanya, salah satu pendekatan diadakan JAKIM adalah dengan memperkenalkan aplikasi ‘Verify Halal’ menerusi telefon pintar bertujuan memudahkan pengguna menyemak status barangan halal yang dijual di pasar raya.
“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh menyemak barangan halal yang disenarai dan pihak tidak bertanggung jawab juga sukar untuk mengelirukan pengguna,” katanya
Dr Mujahid berkata, terdapat beberapa gerakan yang ingin menjatuhkan industri halal serta memburukkan reputasi JAKIM yang sengaja ditularkan dengan meletakkan cop halal yang terdapat pada tin makanan berasaskan khinzir. Menurut beliau, isu berkenaan adalah sudah lama sekitar tahun 2014 dan pihak JAKIM sudah nafikan perkara itu.
Dr Mujahid berkata, pihaknya sangat komited dan mengikut prosedur yang ditetapkan, yang mana produk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diberi sijil halal. Katanya, JAKIM tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar undang-undang menyalahgunakan logo halal dengan mengambil tindakan tegas di mahkamah. -BH Online