Input your search keywords and press Enter.

Azmin Ketuai Delegasi Ke Moscow

M Update, 1/10/2019 – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengetuai delegasi Malaysia pada Suruhanjaya Bersama Russia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) Sesi Pertama di Moscow, Russia.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan semalam, berkata suruhanjaya itu akan dipengerusikan Mohamed Azmin dan Menteri Industri dan Perdagangan Russia, Denis Manturov, hari ini dan Rabu ini. Katanya, pertemuan julung kali itu adalah susulan perbincangan antara Mohamed Azmin dan Manturov pada Forum Ekonomi Timur (EEF) Kelima di Vladivostok, Russia, baru-baru ini serta Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi, Mac lalu.

Dua perjumpaan berkenaan adalah bagi menentukan bidang tugas, skop dan kerjasama pelaburan antara Russia dan Malaysia. Pada sesi pertama JCESTC, pengerusi bersama akan mengetuai perbincangan mengenai perdagangan, ekonomi dan kerjasama pelaburan, khususnya bagi bidang aeroangkasa, pertahanan, teknologi komunikasi maklumat (ICT), pembangunan inovasi dan digital,” katanya.

Kenyataan itu berkata, Mohamed Azmin dijadual bertemu dengan pemain industri dan perniagaan Russia dalam usaha memudahkan perdagangan pada forum hari sama. Nilai pelaburan asing semua sektor dari Russia diluluskan sehingga pertengahan tahun ini adalah hampir dua kali ganda, iaitu RM49.5 bilion berbanding RM25.1 bilion bagi tempoh sama, tahun lalu.

Ini membuktikan potensi ekonomi yang dapat dikecapi menerusi kerjasama antara kedua-dua negara. Mohamed Azmin akan mengadakan sesi perbincangan bersama komuniti Malaysia di Russia di bangunan Kedutaan Malaysia,” katanya. – BH Online

Leave a Reply