Input your search keywords and press Enter.

‘Tuan Am’ Akhirnya Ditahan

M Update, 4/10/2019 – Selepas dua bulan menjejaki seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘Asisten Superintendan (ASP) Wan Faizul’ untuk memperdayakan mangsa, akhirnya suspek terbabit ditahan di Ayer Keroh, Melaka.

Suspek berusia 36 tahun berkenaan pada mulanya dikesan berada di Rasah, Negeri Sembilan, namun berjaya ditahan di Melaka selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung aktiviti jenayah suspek pada 30 Ogos lalu apabila lelaki terbabit mendatangi seorang peniaga nasi lemak dengan menawarkan peluang perniagaan.

Katanya, modus operandi suspek adalah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang juga bertugas dengan Muzium Diraja sebelum menawarkan peluang perniagaan dengan pihak istana. Mangsa bersetuju dengan tawaran itu, kemudiannya bersama suaminya mengikut suspek dengan menaiki kereta ke Muzium Diraja.

Sebaik tiba di pintu masuk muzium terbabit, suspek mengarahkan mangsa dan suaminya meninggalkan barangan peribadi termasuk wang tunai di dalam kereta dengan alasan ia prosedur untuk memasuki premis terbabit. Suspek kemudian mengarahkan pasangan itu tunggu di pintu masuk sementara dia pergi meletakkan kenderaan terlebih dulu namun suspek terus meninggalkan mangsa dan melarikan barangan peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Zairulnizam berkata, suspek sekali lagi menggunakan modus operandi sama terhadap seorang wanita warga negara Indonesia dengan meminta mangsa melakukan kerja pembersihan di muzium berkenaan. Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) mengesan kedudukan suspek yang ketika itu berada di Rasah, Negeri Sembilan dan berjaya menahannya di Ayer Keroh, Melaka selepas kenderaan dipandunya terbabas.

Polis juga merampas empat telefon pintar, dompet, dua kad pengenalan dan lesen memandu mangsa dan sebuah kereta PERODUA Myvi,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. Siasatan juga mendapati suspek aktif melakukan penyamaran sebagai penjawat awam dengan menggunakan identiti ‘Tuan Am’ dan ‘Tuan ASP Wan Faizul’. Kejayaan ini sekali gus menyelesaikan lapan kes seumpama ini yang berlaku di sekitar daerah Brickfields dan Sentul. – BH Online

Leave a Reply