Input your search keywords and press Enter.

Tangkapan LTTE : Polis Ikut Undang-Undang

M Update, 14/10/2019 – Tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah mengikut lunas undang-undang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan tindakan itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya serta bukan bertujuan melemahkan mana-mana pihak.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tidak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya atau Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) tangkap. Ini polis yang tangkap dan mereka ikut undang-undang yang ada,” katanya.

Setakat ini, polis menahan 12 individu termasuk dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan daripada DAP kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia tidak akan memberi sebarang reaksi berhubung laporan kerajaan India mahu memboikot minyak sawit negara susulan kenyataan beliau berkaitan isu Jammu dan Kashmir pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini. Katanya, kerajaan akan melihat tindakan India terlebih dahulu kerana negara itu turut menjual barangan kepada Malaysia.

“Kita akan kaji kesan yang akan diambil oleh India kerana mereka juga menjual barangan kepada kita. Kita ada dagangan dua hala. Kita perlu elak perang dagangan yang akhirnya akan merugikan kedua-dua negara,” katanya.

Leave a Reply