Input your search keywords and press Enter.

Pekerja Utusan Boleh Mohon SIP Mulai 1 November

M Update, 17/10/2019 – Seramai 800 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang diberhentikan kerja boleh memohon bantuan dan pampasan menerusi Skim Insurans Pekerja (SIP), mulai 1 November ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedia membantu kakitangan Utusan dengan memberi khidmat nasihat, termasuk berkaitan hak mereka sebagai pekerja.

Selain itu, PERKESO menjalin kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia dalam mencari kekosongan jawatan daripada majikan pencetakan dan menempatkan semula kakitangan Utusan mengikut kemahiran bersesuaian.

“Dianggarkan 800 kakitangan diberhentikan, namun ‘loss of employment’ (kehilangan pekerjaan) hanya akan berlaku pada 1 November ini. Selepas itu mereka boleh buat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada PERKESO menerusi SIP,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) mengenai pembelaan pekerja Utusan selepas syarikat pencetakan terbabit mengalami masalah aliran kewangan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung tekad kerajaan supaya 800 kakitangan Utusan diambil bekerja semula, Mahfuz berkata, seramai 483 pekerja Utusan dan 39 kakitangan Karangkraf sebelum ini mendapat bantuan SIP apabila diberhentikan menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh mencampuri soal perniagaan sekiranya pemilik baharu pegangan saham syarikat Utusan memutuskan untuk hanya mengambil segelintir pekerja, berbanding 800 kakitangan yang diberhentikan.

“Itu hak majikan, tetapi persoalannya kenapa Utusan yang sebelum ini berdepan masalah tidak mengendalikan pengurusan secara terbaik bagi memastikan tiada penindasan dalam kalangan pekerja mereka,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply