M Update, 4/11/2019 – Lebih 600,000 peluang pekerjaan sedia ada dalam pelbagai bidang tidak diisi kerana kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan golongan muda.
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata kekosongan jawatan itu bukan sahaja dalam pekerjaan 3D (sukar, kotor dan berbahaya), malah sektor pengurusan dan profesional.
“Janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menyediakan sejuta peluang pekerjaan akan ditepati dan dijayakan. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita ada kekosongan lebih 600,000 kerja sedia ada.
“Bukan sahaja 3D, kekosongan lebih 6,000 dalam bidang pengurusan, lebih 21,000 dalam bidang profesional manakala lebih 22,000 dalam bidang juruteknik dan profesional bersekutu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada janji PH dalam menyediakan sejuta peluang pekerjaan akan ditunaikan. Menjawab soalan asal Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai jumlah pekerja swasta yang diberhentikan termasuk ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Kulasegaran menjelaskan seramai 24,600 orang diberhentikan sehingga 30 September lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 21,625 orang iaitu 87.9 peratus terbabit dengan pemberhentian biasa manakala bakinya terbabit dengan pemberhentian sukarela,” katanya.
Pekerja yang terjejas membabitkan dalam sektor pembuatan (7,944 orang); aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309 orang); perdagangan, borong dan runcit (2,123 orang); kewangan dan insurans (1,748 orang); penginapan dan perkhidmatan makanan serta minuman (1,049 orang) dan sektor maklumat dan komunikasi (679 orang). – BH Online