M Update, 07/11/2019 – Seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan dijumpai meninggal dunia di dalam sebuah mesin basuh.
Dalam insiden yang berlaku di Palembang, Sumatera, Indonesia baru-baru ini, suspek yang merupakan ibu kandung bayi tersebut memberitahu bahawa dia melahirkan anaknya di dalam bilik mandi secara rahsia sebelum memasukkan bayi malang itu ke dalam mesin basuh.
Suspek yang dikenali sebagai Sutina, 36, mendakwa tindakannya itu disebabkan rasa malu kerana melahirkan anak luar nikah.
Sutina turut memberitahu bahawa teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab malah melarikan diri.
“Saya hanya memasukkan dia (bayi) ke dalam mesin basuh, tidak ada tindakan lain yang saya buat.
“Teman lelaki saya tidak mahu bertanggungjawab dan melarikan diri,” katanya ketika disoal polis.
Sutina dipercayai melakukan perkara tersebut ketika bekerja sebagai pengasuh di rumah bekas wakil Gabenor Palembang, Ishak Mekki.
Menurut polis, mangsa dikatakan masih lagi hidup ketika dijumpai di dalam mesin basuh berkenaan, namun meninggal dunia semasa dirawat di hospital.
Sutina akan didakwa mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak dan berdepan hukuman 15 tahun penjara.