Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Dinasihati Tidak Mengunjungi Selatan Thailand Sementara Waktu

Foto hiasan.

M Update, 07/11/2019 – Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya tidak mengunjungi selatan Thailand dalam masa terdekat susulan serangan menyebabkan 15 kematian di wilayah Yala, Thailand, malam semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekiranya masih ingin ke sana, mereka diminta lebih berhati-hati.

“Kita minta mereka berhati-hati dalam sehari dua ini.

“Kalau boleh elakkan ke selatan Thailand untuk keselamatan,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Bharu, semalam.

Mengulas lanjut, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat kecederaan atau kematian membabitkan rakyat negeri ini dalam serangan itu.

Media melaporkan, sekurang-kurangnya 15 individu terbunuh manakala empat sukarelawan pertahanan kampung cedera selepas puak pemisah disyaki menyerang pos kawalan keselamatan di selatan Thailand.

Serangan dianggap terbesar tahun ini di wilayah selatan Yala menggunakan bahan letupan dan paku bagi melambatkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Polis Prabpal Meemongkol dilaporkan berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan) malam tadi, polis menerima laporan dua pos kawalan keselamatan iaitu di Mukim Lampaya dan Kampung Thung Sadao dipercayai diserang anggota kumpulan bersenjata.

Leave a Reply