M Update, 7/11/2019 – Perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi semalam ditunjukkan dengan demonstrasi seterika wap yang digunakan tertuduh kedua pada mangsa.
Bahan bukti kes itu dibawa masuk ke mahkamah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memohon untuk melakukan demonstrasi dan menerangkan tahap kepanasan seterika wap itu yang mempunyai suhu rendah, pertengahan dan paling tinggi.
Pada prosiding itu, Julia melakukan demonstrasi dengan meletakkan seterika berkenaan pada tahap paling tinggi dan wap itu dihalakan kepada tapak tangan serta lengan seorang anggota polis mahkamah dan apabila ditanya Julia sama ada terasa panas, anggota itu menjawab “ya, panas.”
Hakim Datuk Azman Abdullah juga mencuba seterika itu dan menghalakan wap di tapak tangannya pada jarak sejengkal. Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh Julia, tertuduh kedua Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, bersetuju bahawa semasa kejadian pada 22 Mei 2017 (di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM), Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai ‘boxer’ (seluar dalam lelaki yang longgar).
Julia: Saya cadangkan semasa kejadian, Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai boxer. Walaupun seterika wap tidak menyentuh Zulfarhan tetapi wap itu terkena pada Zulfarhan dan akan merasa sakit serta panas.
Muhammad Azamuddin: Setuju Yang Arif.
Bagaimanapun dia tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia menggunakan seterika wap secara terus pada tubuh badan Zulfarhan bukan hanya melalukan sahaja. Muhammad Azamuddin juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia bukan hanya mengenakan seterika wap pada bahu dan paha Zulfarhan, malah melakukan perbuatan itu sekurang-kurangnya 18 kali.
Dia juga menolak cadangan Julia bahawa dia ada menekap kemaluan mangsa dengan menggunakan seterika wap kerana terdapat kesan melecur pada bahagian itu. Muhammad Azamuddin turut tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa semasa kejadian, dia dan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, 23, mengikat tangan dan kaki Zulfarhan menggunakan tali tae kwan do.
Berhubung dengan cadangan Julia bahawa dalam konteks ketenteraan, tertuduh gagal mempraktik prinsip ‘no man left behind’ kerana membenarkan rakan sepasukan dipukul dan diseterika, Muhammad Azamuddin menjawab “tidak setuju”.
Julia: Saya cadangkan, walaupun awak kata hubungan awak dengan Zulfarhan ibarat “seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada berpenghujung”, setuju tak sekiranya saya katakan apabila tasbih itu putus sudah tiada penghujung?”
Muhammad Azamuddin: Setuju.
Kepada cadangan Julia bahawa hubungan tertuduh dengan Zulfarhan sudah putus apabila dia membiarkan rakannya itu dipukul, selain mengenakan seterika wap dan gagal menghentikan perbuatan itu, Muhammad Azamuddin berkata: “tidak setuju”.
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, tertuduh berkata, secara peribadi dia langsung tidak mengetahui perbuatannya itu boleh menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana tiada kesan pada bahu dan peha mangsa selepas melalukan seterika wap pada dua bahagian itu. Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok. – BERNAMA