Input your search keywords and press Enter.

Mencemari Kesucian Al-Quran

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian Al-Qur’an adalah mempertikai kebenaran Al-Qur’an, mengubah kedudukan dan struktur ayat-ayat Al-Qur’an, membuat pentafsiran menyeleweng tanpa merujuk tafsiran ulama-ulama muktabar ASWJ di samping mendakwa wujudnya kitab suci lain selain Al-Qur’an atau mendakwa bahawa Al-Qur’an yang sedia ada tidak lengkap atau mempunyai kekurangan. Contohnya, ajaran Syiah yang mendakwa Al-Qur’an mempunyai kekurangan dan ajaran Bahai mendakwa bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansuhkan semua kitab samawi.

Menolak Al-Qur’an atau mempertikai kedudukannya sahaja merupakan kesesatan yang nyata. Sesungguhnya Al-Qur’an merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT dan dijamin pemeliharaannya daripada sebarang perubahan atau kepalsuan

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan AlQur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah Al-Hijr; 15 : 9).

Al-Qur’an yang telah dikumpulkan dan disebarkan dengan nama Mashaf Uthmani merupakan Al-Qur’an yang disepakati oleh umat Islam. Sekiranya wujud Al-Qur’an yang lain dan menyalahi Al-Qur’an Mashaf Uthmani sama ada wujud pengurangan atau penambahan perkataan, ayat atau surah maka pastinya ia bukan Al-Qur’an yang sebenar. Sebagai contoh sebagaimana yang telah dinyatakan, Syiah mendakwa bahawa Al-Qur’an yang wujud di tangan umat Islam pada hari ini tidak lengkap atau hanya sepertiga daripada kitab suci yang diturunkan dan dakwaan ini sesat lagi menyesatkan. Begitu juga dakwaan Syiah wujudnya surah-surah lain seperti Surah Al-Imam atau Surah AlWilayah yang berbeza daripada 114 surah yang sedia dimaklumi merupakan dakwaan yang sesat lagi menyesatkan.

Tegasnya, mana-mana fahaman atau ajaran yang menolak sama ada secara keseluruhan atau sebahagian Al-Qur’an, mempertikai keaslian atau kedudukan Al-Qur’an merupakan fahaman atau ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Terdapat juga dakwaan bahawa wahyu masih turun sebagaimana wahyu yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ini juga dakwaan sesat kerana wahyu hanyalah dikurniakan kepada para nabi dan rasul sedangkan kenabian atau kerasulan itu telah terputus dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya ajaran Islam itu telah lengkap sempurna sebagaimana yang telah ditegaskan dalam firman Allah SWT: Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah Al-Maa’idah; 5: 3)

Sumber – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Leave a Reply