Input your search keywords and press Enter.

Permohonan Laporan Perubatan Percuma Bagi Pemohon MySalam

M Update, 7/11/2019 – Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pesakit bagi proses permohonan laporan perubatan untuk memohon bantuan mySalam, kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam, Johan Mahmood Merican.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan pekeliling kepada semua Pengarah Hospital, Pengarah Kesihatan Negeri dan Pengarah Institusi pada 14 Ogos lepas bahawa semua caj bayaran laporan perubatan dikecualikan untuk pesakit yang membuat tuntutan Skim mySalam.

Johan Mahmood yang juga Pengarah Pejabat Belanjawan Negara berkata satu laporan mengenai seorang pesakit yang mendakwa dikenakan bayaran berjumlah RM40 bagi permohonan laporan perubatan yang dibuat adalah tidak benar.

Sebuah portal perubatan baru-baru ini melaporkan dua orang pesakit daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mendakwa mereka perlu membayar RM40 kepada hospital kerajaan untuk memperoleh laporan perubatan bagi memohon bantuan mySalam.

Johan Mahmood dalam kenyataan semalammenjelaskan, kes kedua-dua pesakit gagal mendapatkan tuntutan penggantian pendapatan melalui mySalam adalah disebabkan dokumen yang dikemukakan tidak lengkap dan tuntutan bayaran telah mencapai had bagi tahun 2019.

“Semakan ke atas permohonan tuntutan penggantian pendapatan Hairul Anuar Omar yang dikemukakan pada 24 Oktober 2019 menunjukkan status ‘belum dapat diproses’ kerana dokumen (nota discaj) dikemukakan tidak lengkap.

“…kes permohonan Puan Lalitha Selvakumar pada 14 Okt 2019 pula tidak diluluskan kerana sebelum ini beliau telah berjaya menuntut RM700 untuk 14 hari pada 21 April 2019 bagi tempoh 10 hingga 24 Feb,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan setiap permohonan bagi skim mySalam akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja, dengan setiap permohonan menyediakan dokumen sokongan yang lengkap dan disahkan oleh doktor hospital kerajaan. Skim bantuan ini merupakan salah satu langkah kerajaan untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial secara percuma kepada rakyat. – BERNAMA

Leave a Reply