Input your search keywords and press Enter.

Hina Islam : Suri Rumah Hadapi Enam Tuduhan

M Update, 8/11/2019 – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas enam pertuduhan membuat penghantaran jelik di Facebook yang menghina Islam.

Fadhilah Abdulhamid, 42, yang juga orang kena saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Februari hingga 4 Mac pada waktu berbeza. Bagaimanapun, wanita terbabit yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mohd Said dan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui akaun Facebook ‘Fadhilah Abdulhamid’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama. Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga dan kelima, Fadhilah didakwa melakukan kesalahan itu pada 11.05 malam 19 Februari 2019; pada 12.39 tengah hari 20 Februari 2019 dan pada 3.38 petang 2 Mac 2019. Sementara bagi pertuduhan kedua, keempat dan keenam, OKS didakwa melakukan kesalahan pada 1 Mac 2019, kira-kira 10 malam; pada 8.52 malam 19 Februari 2019 dan 1.25 tengah hari 4 Mac 2019.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohamad Adzhar. Sementara itu, kedua-dua hakim menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam bagi mewakili Fadhilah. – HM Online

Leave a Reply