Input your search keywords and press Enter.

TPM : Aset Wakaf Perlu Diurus Secara Professional

M Update, 12/11/2019 – Hanya sedikit aset termasuk tanah yang disumbangkan secara wakaf menjana pendapatan yang mampu menyokong perkembangan ekonomi ummah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata hanya 12 peratus daripada 31,000 hektar tanah yang diwakafkan sudah dibangunkan. Katanya, kebanyakan tanah wakaf itu pula hanya dibangunkan untuk tujuan tradisi keagamaan seperti masjid, perkuburan Muslim dan sekolah keagamaan Islam.

“Hanya sedikit aset wakaf itu dibangunkan untuk tujuan sosio-ekonomi inklusif seperti pusat perniagaan dan hub pengangkutan, yang boleh menjana pendapatan untuk menyokong perkembangan ekonomi ummah.

“Harta wakaf adalah satu amanah yang akan dihitung di akhirat kelak,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Global Wakaf (GWC) ke-7 anjuran Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah menjelaskan, Malaysia juga berdepan dengan persepsi dalam pengurusan institusi dan harta wakaf seperti yang dihadapi dunia ketika ini. Persepsi ini timbul akibat kekurangan pengetahuan dan kecekapan di kalangan pengurusan dan pentadbiran.

“Meskipun memiliki sumber aset yang besar, institusi wakaf masih berdepan kekangan dalam kewangan untuk membangunkan aset itu. Ia diburukkan lagi dengan kekurangan rangka kerja undang-undang mengenai pentadbiran wakaf serta ketelusan,” katanya.

Dalam perkembangan itu, beliau turut mencadangkan agar institusi wakaf perlu diuruskan oleh ekskutif profesional yang bukan sahaja berpengetahuan dan cekap dalam perspektif agama tetapi handal dalam pembangunan harta, teknologi maklumat (IT), pemasaran, pelaburan, kewangan dan perakaunan.

“Adalah penting untuk menerapkan teknologi moden seperti fintech dan blockchain menggantikan proses lama dalam pengurusan dan pentadbiran wakaf.

“Kolabrasi antara penguatkuasa wakaf dan institusi yang berkaitan seperti badan kewangan Islam dan pemaju hartanah penting untuk memastikan aset itu memberi keuntungan kepada sosial-ekonomi ummah,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply