Input your search keywords and press Enter.

Kaji Hukuman Gantian Hukuman Mati Mandatori

M Update, 13/11/2019 – Bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, selain Richard, sembilan ahli dilantik menganggotai jawatankuasa itu terdiri daripada pakar perundangan seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguam Kanan Persekutuan, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada universiti awam dan pakar kajian jenayah.

Mereka ialah bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim; Pengasas Bersama dan Pengarah Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Edmund Bon dan Ahli Majlis Peguam, Andrew Khoo Chin Hock.

Selain itu, bekas Peguam Cara Negara Datin Paduka Seri Zauyah Be T Loth Khan; bekas Pegawai Kanan Jabatan Penjara Thang Ah Yong; Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk Mah Weng Kwai; Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki dan pakar kriminologi di Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Datuk Dr P Sundramoorthy.

Mohamed Hanipa berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Takiyuddin bertanya mengenai senarai ahli Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang akan ditubuhkan kerajaan dan adakah agamawan seperti mufti serta pihak jabatan agama turut terbabit dalam penubuhan jawatankuasa itu.

Mengulas lanjut, katanya, secara amnya agamawan terbabit namun, tidak secara langsung.

“Penubuhan Jawatankuasa Khas itu adalah komitmen kerajaan untuk memastikan proses penggubalan undang-undang negara bersifat inklusif, holistik dan efektif dengan memfokus kepada sesi libat urus dan ‘outreach’ yang mencukupi.

“Justeru, pembabitan pelbagai lapisan masyarakat termasuk agamawan seperti Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam proses kajian ini, melalui pelbagai platform seumpamanya akan diberi perhatian khusus supaya hak individu untuk menyuarakan pandangan tidak diketepikan,” katanya.

Kepada soalan tambahan Takiyuddin mengenai bila cadangan hukuman gantian bagi hukuman mati mandatori itu akan dibentangkan di Parlimen, Mohamed Hanipa berkata, sesi libat urus dijangka selesai hujung tahun ini dan cadangan mengenai hukuman gantian dijangka dibentang pada Mac tahun depan.

Pada 29 Ogos lalu, kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan polisi penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply