M Update, 19/11/2019 – Peminat bola sepak tanah air berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia secara santai menerusi tayangan layar besar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam ini.
Ia pastinya berita gembira buat penyokong bola sepak yang tidak berpeluang membeli tiket perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang habis terjual. Berdasarkan kenyataan di laman Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bersetuju menayangkan perlawanan epik itu bagi menyemarakkan lagi sokongan kepada Harimau Malaya.
“Ayuh Malaysia…jangan lupa malam ini…nyatakan sokongan anda! Kita berkumpul di Dataran Merdeka.
“Ramai-ramai kita penuhkan Dataran Merdeka untuk menzahirkan sokongan anda kepada Harimau Malaya,” katanya.
Sementara itu, DBKL turut memberi peringatan supaya orang ramai menjaga kebersihan Dataran Merdeka dan tingkah laku semasa menonton. Untuk rekod, pertembungan Malaysia dan Indonesia adalah pertemuan ke-97 sejak pertama kali pada 1957.
Skuad Garuda yang masih gagal mengutip sebarang mata setakat ini memerlukan kemenangan demi ‘survival’ pasukan di dalam saingan Kumpulan G. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang meraih kemenangan penting ke atas Thailand pada Khamis lalu mensasarkan tiga mata penuh demi mencerahkan laluan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia itu. – HM Online