Input your search keywords and press Enter.

Anggota PASKAL maut terkena bom

M-Update,7/2/2019, PERMAISURI: Seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas terkena bom ikan ketika memukat ikan bersama tiga ahli keluarganya di Sungai Pengkalan Merbau, Sungai Tong, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, yang bertugas di Lumut, Perak, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Tong, di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata sebelum kejadian, kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa mengajak abang, Nur Muhaimin, 35; adik lelaki, Amirul Hakimi, 20 dan adik iparnya, Mohd Rohadi Ruslan, 30, pergi ke sungai itu untuk memukat ikan. Beliau berkata, setibanya di lokasi berkenaan, semua mereka turun ke sungai dan menaiki sampan untuk menuju ke hilir sungai bagi memukat ikan.

“Ketika itu, seorang ahli keluarga mangsa nampak mangsa memegang satu plastik hitam, namun mangsa hanya mendiamkan diri ketika ditanya isi kandungan plastik dibawanya. “Mereka kemudian terus menaiki sampan mengikut arus sungai kira-kira 15 minit sebelum mangsa memberitahu supaya meninggalkannya di tebing sungai.

“Dalam masa sama, mangsa dikatakan menyuruh ahli keluarganya yang lain menunggu dan memasang pukat di hilir sungai,” katanya. Bagaimanapun, Zulkifli berkata kira-kira 10 minit kemudian, ketiga-tiga ahli keluarga mangsa dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

“Panik dengan bunyi letupan itu mereka menjerit nama mangsa, namun tiada jawapan menyebabkan mereka bergegas menuju ke lokasi mangsa ditinggalkan di tebing sungai. “Mereka kemudian terkejut menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian perut, muka serta kedua-dua belah tangan,” katanya.

Zulkifli berkata, ahli keluarga kemudian segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Tong dan Nur Kamarul Adnan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

–BHarian

Leave a Reply