M Update, Kerajaan akan mempertimbangkan memberi bantuan tunai RM500 kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan melihat pelbagai aspek termasuk kerugian ditanggung mangsa.
“Kita akan mempertimbangkan bagaimana dan apakah (kaedah) bantuan kepada mangsa banjir. Kerajaan juga akan lihat berapa banyak kerugian ditanggung oleh mangsa,” katanya ketika ditemui di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di Rantau Panjang, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengagihkan makanan kepada mangsa banjir. Sehingga 11 pagi ini, seramai 809 mangsa daripada 463 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan yang mula dibuka sejak Sabtu lalu selepas perkampungan berdekatan dilanda banjir. Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan melihat kemampuan untuk memberi bantuan tunai kepada mangsa banjir.
Pada perkembangan yang sama beliau berkata, situasi banjir ini adalah seperti 2016 dan bukannya bah kuning pada 2014.
“Banjir tahun ini tidak seteruk 2014 namun, kita mempertingkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi banjir kerana monsun timur laut dijangka berlaku sehingga Februari ini. Kita bukan saja melihat di Rantau Panjang dan Pasir Mas, tetapi di kawasan lain yang terjejas untuk memberi keutamaan projek tebatan banjir,” katanya.
Mengulas mengenai kemudahan di PPS, Wan Azizah berkata, ada sesetengah tempat perlu ditambah baik terutama ibu yang ada anak kecil kerana tidak cukup toto dan selimut bayi. Begitu juga di lokasi yang ada warga emas dan wanita bertudung, kita perlu mengambil sensitiviti mereka,” katanya. – BH Online