Input your search keywords and press Enter.

Penubuhan Skuad Sukarela Buru PATI Tidak Diiktiraf Imigresen

M Update, 26/12/2019 – Jabatan Imigresen tidak pernah mengiktiraf skuad sukarela memburu warga asing tinggal lebih masa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, menegaskan membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memburu PATI.

“Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan di media sosial serta kenyataan berhubung penubuhan sukarelawan PUTRA, bagi memburu pelancong asing yang tinggal lebih masa. Khairul Dzaimee berkata, sejak 1 Januari hingga 24 Disember lalu, Jabatan Imigresen melaksanakan 17,328 operasi penguatkuasaan.

“Menerusi operasi berkenaan 50,715 PATI serta 1,251 majikan telah ditahan. Setiap PATI yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membantu Jabatan Imigresen dengan menyalurkan maklumat yang tepat mengenai PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil. Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

“Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63 kuasa untuk menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam saja,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply