M Update, 17/1/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan meniaga bunga api untuk jualan umum sempena musim perayaan di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata kelulusan ini membabitkan 44 jenis bunga api jenis ‘Happy Boom’ dan satu jenis ‘Pop-Pop’. Katanya, daripada jumlah itu, 36 bunga api ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-Pop’ dibenarkan dijual kepada umum.
Baki sembilan bunga api ‘Happy Boom’ turut dibenarkan dijual kepada orang awam, namun persatuan atau individu perlu membeli bunga api berkenaan menerusi syarikat pengimport dengan memenuhi syarat ditetapkan.
“Peniaga kecil atau bazar dibenarkan menjual 36 jenis bunga api dan ‘Pop-Pop’ dengan syarat memiliki tempat simpan selamat serta mempunyai lesen, permit, kupon dan surat kebenaran daripada pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Mazlan berkata, peruncit seperti pasar raya 24 jam hanya dibenarkan menjual bunga api ‘Pop-Pop’. Mengulas penjualan sembilan bunga api ‘Happy Boom’, Mazlan berkata peniaga kecil, peruncit, pasar raya atau ejen tidak dibenarkan menjual bunga api berkenaan.
Di samping itu, bunga api terbabit juga tidak dibenarkan dijual kepada pembeli berusia bawah 18 tahun atau secara dalam talian mahupun menerusi aplikasi media sosial.
“Pasar raya dan pusat beli-belah (luar premis) dibenarkan menjual bunga api terbabit dengan syarat mempunyai tempat penyimpanan selamat dan lesen diperakui,” katanya.
Mazlan turut mengingatkan larangan menjual sebarang jenis bunga api di restoran dan kedai makanan.
“Bagi mengelakkan gangguan dan situasi bahaya terhadap orang awam, had tempoh bermain mercun tidak melebihi jam 12 tengah malam dan hanya dibenarkan di kawasan lapang serta selamat sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, dilaporkan berkata bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan.
Larangan bermain mercun dan bunga api masih berkuat kuasa sehingga kini mengikut Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207). – BH Online