M Update, 29/1/2020 – Seramai 29 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara dan tiga jurulatih cedera selepas kenderaan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam kemalangan petang semalam.
Markas TUDM dalam satu kenyataan berkata, insiden itu berlaku apabila kenderaan terbabit hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang di kawasan Hutan Bukit Jugra jam 3.30 petang.
“Kenderaan tiga tan itu membawa pegawai kadet PALAPES Udara dan jurulatih yang juga kumpulan pendahuluan (advance party) untuk persediaan fasa Latihan Medan bagi Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara yang bermula hari ini.
“Mereka yang cedera dirawat di Hospital Banting dan Hospital Klang,” katanya.
Menurutnya, Pegawai Memerintah dan pegawai perubatan dari Rejimen TUDM Bukit Jugra membantu dan memantau keadaan mangsa.
“TUDM akan sentiasa memastikan pemantauan berterusan dan memberi bantuan yang sebaiknya kepada semua yang terbabit dengan insiden ini. Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.