Input your search keywords and press Enter.

Agong Berangkat Ke Majlis Kesyukuran Sempena Setahun

Foto : FB Istana Negara

M Update, 31/1/2020 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Pada majlis yang diadakan di surau Istana Negara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan membaca surah Yasin bersama 300 jemaah yang terdiri daripada pegawai kanan dan warga Istana Negara serta pelajar tahfiz daripada Maahad Tahfiz Darus Syabab.

Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

Seri Paduka berdua dan jemaah kemudian bersama-sama menunaikan solat maghrib dan solat hajat yang dipimpin oleh Imam surau Istana Negara Ustaz Zulkifli Salleh.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian turut berkenan mendengar tazkirah daripada Imam Masjid Kampung Pantai Dalam Ustaz Mohd Shahril Abd Samat mengenai kepimpinan dalam Islam, sebelum menunaikan solat isyak yang diimamkan oleh Ustaz Ainuddin Razi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai tetamu ke majlis santapan.

Majlis kesyukuran itu turut dihadiri anakanda pasangan diraja itu, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019, selepas dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019.

Al-Sultan Abdullah memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun bermula tarikh melafaz sumpah.- Bernama

Leave a Reply