Input your search keywords and press Enter.

Daftar Urusan Tabung Haji Online Guna THiJARI

M Update, 6/2/2020 – Lebih sembilan juta pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) kini boleh memanfaatkan platform perkhidmatan digital dalam talian di laman web THiJARI yang dilancarkan semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, menerusi perkhidmatan itu, pendeposit boleh menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang, perkhidmatan Haji dan urusan Kelab TaHa.

“TH menggalakkan lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI pada tahun 2020 ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran THiJARI dan Kempen #SimpanDaftarDanMenang TH, di Menara TH Jalan Tun Razak di sini semalam.

Untuk menggunakan perkhidmatan THiJARI, pendeposit perlu mengemaskini maklumat ahli termasuk nombor telefon bimbit di kaunter TH atau boleh terus melayari www.thijari.com.my jika sudah mengemaskini maklumat yang diperlukan.

“Kempen #SimpanDaftarDanMenang yang dilancarkan TH dilihat mampu menarik lebih ramai umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun di TH dan seterusnya mendaftar haji dan ia layak disertai semua pendeposit TH yang berumur 18 tahun ke atas.

“Bagi pendeposit sedia ada, mereka hanya perlu menambah simpanan sebanyak RM5,000 serta mengekalkannya dalam tempoh kempen dan pendeposit baharu perlu membuat simpanan minimum sebanyak RM5,000,” katanya.

Menurutnya, pendeposit TH juga perlu mendaftar haji untuk melayakkan mereka menyertai cabutan kempen ini.

“Tiga cabutan akan dilakukan oleh TH sepanjang tempoh kempen iaitu pada Mei dan Ogos 2020 serta Januari 2021. Hadiah-hadiah menarik disediakan untuk pemenang berupa wang tunai dan pakej umrah ziarah bernilai RM300,000,” katanya.

Inisiatif terbaru TH itu dilaksanakan susulan perubahan konsep simpanan TH dari Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah pada penghujung tahun 2019 lalu membolehkan TH mempelbagaikan cara promosi dan program pemasaran. – SH Online

Leave a Reply