Input your search keywords and press Enter.

KKM : Warga China Positif Coronavirus Disahkan Pulih

M Update, 10/2/2020 – Seorang lelaki warga China berusia 63 tahun yang sebelum ini disahkan positif 2019-nCoV, disahkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ia adalah kes ketiga mangsa coronavirus disahkan pulih selepas dua kes yang menerima pengesahan sama sebelum ini, masing-masing menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi dan Hospital Permai di Johor Bahru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lelaki berkenaan sebelum ini dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL). Beliau diberi rawatan bagi gejala dengan pengawasan berterusan dan tiada keperluan untuk rawatan ubat antiviral.

“Terkini, dua ujian ulangan bagi 2019-nCoV yang dijalankan berturut-turut terhadapnya pada 7 dan 8 Februari lalu dilaporkan negatif. Pesakit dibenarkan pulang petang ini (semalam),” katanya yang berkongsi hal berkenaan menerusi laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Dr Noor Hisham turut menyatakan penghargaan kepada keseluruhan pasukan di HKL kerana memberi rawatan terbaik kepada pesakit berkenaan.

“Penghargaan juga kepada Pejabat Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya yang terbabit dalam siasatan, pengesanan kontak dan langkah pencegahan serta kawalan bagi mencegah penularan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat sekeluarga yang masih dirawat di wad isolasi HSB iaitu ahli keluarga kes positif 2019-nCoV pertama yang dilaporkan di Singapura, kini berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala. Katanya, dua daripada mereka memperoleh keputusan negatif bagi ujian pengesahan 2019-nCoV ulangan yang dijalankan, dua kali berturut-turut.

Namun, ujian bagi dua lagi ahli keluarga mereka perlu dijalankan semula. Sebaik ujian pengesahan 2019-nCoV ulangan bagi mereka dikesan negatif dua kali berturut-turut, hospital bersedia membenarkan mereka pulang dalam masa terdekat,” katanya. – BH Online

Leave a Reply