Input your search keywords and press Enter.

Dirempuh Pemandu Mabuk, Dua Sahabat Maut Bersama

M Update, 11/2/2020 – Dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk, di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Sungai Dua, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi,21, yang bekerja sebagai juru elektrik dan pembonceng, Muhammad Amin Najmi Azaman,19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kedua-dua mereka berasal dari Kampung Paya Keladi Hujung, Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu pemandu seorang wanita berusia 47 tahun melanggar belakang motosikal jenis YAMAHA 125ZR ditunggangi mangsa menyebabkan kedua-dua mereka parah di kepala dan badan.

Katanya, ketika kejadian jurujual produk kesihatan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kepala Batas dari sebuah pusat karaoke di Jalan Raja Uda.

“Apabila sampai di KM13 BORR arah Sg Dua, wanita itu melanggar bahagian motosikal menyebabkan pembonceng dan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala, motosikal mereka terbakar. Mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Noorzainy berkata, wanita itu sudah direman pagi ini untuk siasatan lanjut. Hasil ujian alkohol yang dijalankan mengesahkan dia memandu di bawah pengaruh alkohol namun, air kencing negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan (APJ) 1987.

Kejadian seumpamanya adalah yang kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan pemandu mabuk di negeri ini.

Awal pagi Ahad lalu, seorang pekerja kilang maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, berhampiran susur ke Perai, dekat Bukit Mertajam.

Dalam nahas kira-kira pukul 5 pagi itu, Khairizul Mohamad Noor, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan keadaannya dilaporkan kritikal. – BH Online

Leave a Reply