Input your search keywords and press Enter.

YKN-JKM Pelawa Sumbang Ke Tabung Prihatin

M Update, 18/2/2020 – Orang ramai dan pihak korporat boleh menyumbang kepada Tabung Prihatin YKN-JKM yang berfungsi memberikan bantuan awal segera kepada golongan kurang berkemampuan yang ditimpa bencana di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, berkata penubuhan tabung khas itu yang dilancarkan semalam, bertujuan mengumpul dana bagi memenuhi keperluan sasar kedua-dua agensi, YKN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau berkata, bantuan yang disalurkan tabung itu adalah sekali saja (one off) bagi memenuhi keperluan asas selepas bencana manakala bantuan berterusan akan disalurkan oleh JKM.

“Dengan adanya tabung ini, kita dapat memberi bantuan dengan segera dan prosedur tabung ini akan dibuat mengikut prosedur kewangan YKN. Mereka yang layak menerima bantuan tabung ini terdiri daripada warganegara Malaysia, status ekonominya tergolong dalam kalangan miskin dan kurang berkemampuan serta telah diperakui oleh pegawai JKM.

“Maknanya, kita memastikan bahawa penerima memenuhi kriteria yang sepatutnya. Orang ramai yang mahu menyumbang boleh juga melakukannya melalui perbankan dalam talian dan insya-Allah kami akan pastikan bantuan ini sampai kepada kumpulan sasar di saat mereka benar-benar memerlukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Prihatin YKN-JKM di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hadir menyempurnakan majlis pelancaran itu. Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Junaidah Kamarruddin; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian, Anis Rizana Mohd Zainuddin dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail.

Che Asmah berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran untuk tabung itu, namun berharap lebih banyak dana dapat dipungut bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan. Untuk permulaan, YKN memperuntukkan RM100,000 kepada tabung berkenaan dan berharap ia akan dapat dikembangkan.

“Beza tabung ini dengan tabung lain ialah mereka yang kita bantu akan disahkan oleh JKM dan kita juga mempunyai prosedur untuk menyalurkan bantuan.

“Setiap bulan kita memang keluar mencari penerima dan ada juga mereka yang menulis surat (memohon bantuan) tetapi yang penting bila berlaku bencana seperti kebakaran, kerana ia memerlukan bantuan segera.

“YKN sendiri menyantuni sebanyak 100 keluarga sebulan dan ia tidak termasuk pelbagai institusi kebajikan. Bantuan yang disalurkan ini adalah bantuan sekali saja manakala bantuan berterusan hanya disalurkan oleh JKM.

Antara kategori bantuan yang dipertimbangkan seperti bantuan serta merta, bantuan segera melalui aktiviti pendampingan sosial, mangsa bencana kecil atau kes terpencil, kes terdampar dan bantuan sekali gus.

Sumbangan wang tunai yang diberikan pengecualian cukai itu boleh dibuat melalui aplikasi QR Pay Maybank2U selain saluran sedia ada seperti cek, perbankan internet dan sumbangan wang tunai ke akaun Maybank Islamic Bank Berhad milik Yayasan Kebajikan Negara Malaysia bernombor 568621017986. – BH Online

Leave a Reply