Input your search keywords and press Enter.

Samun Jemaah Wanita Guna Cangkul Dan Besi

M Update, 27/2/2020 – Jemaah wanita mengalami kecederaan di belakang badan selepas dipukul oleh dua lelaki yang menggunakan cangkul dan besi dalam kejadian samun di Masjid An-Nur Kampung Guar, Jalan Guar Jering di Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata dalam kejadian 3 petang itu, mangsa berusia 65 tahun bersama dua lagi jemaah wanita baru selesai kelas mengaji di masjid tersebut sebelum dua lelaki meluru masuk ke bahagian ruang solat wanita.

“Seorang dari lelaki itu menghampiri mangsa sebelum terus meragut rantai emas dan menyebabkan warga emas itu menjerit meminta tolong, namun suspek memukul belakang badan wanita tersebut menggunakan sebatang besi.

“Manakala seorang lagi suspek yang membawa cangkul bertindak mengacu objek itu ke arah mangsa dan dua lagi wanita yang turut berada di situ, sebelum dua lelaki itu mengambil beg solat yang mengandungi telefon bimbit, beg duit, telekung dan kitab milik tiga jemaah tersebut,” katanya di Bukit Mertajam, hari ini.

Menurutnya, dua lelaki itu kemudiannnya melarikan diri dengan sebuah motosikal dan kamera litar tertutup yang terdapat di perkarangan masjid tersebut berjaya merakam wajah suspek berkenaan.

Beliau berkata, usaha mengesan dua lelaki itu giat dijalankan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama.

Leave a Reply