Input your search keywords and press Enter.

Dakwaan ‘Royal Coup’ Hina Institusi Diraja

M Update, 5/32020 – Dakwaan mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan secara ‘royal coup’ (rampasan diraja) disifatkan melampau dan menghina institusi diraja di negara ini.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata segala tindakan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam menyelesaikan krisis politik negara baru-baru ini, adalah berpandukan kuasa diperuntukkan kepada Seri Paduka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, Perkara 43 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri, yang pada hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tidak sama dengan sistem di negara-negara lain.

“Kenyataan ‘royal coup’ telah menghina institusi diraja di Malaysia dan mencabar kedaulatan negara,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Semalam, sebuah akhbar dari United Kingdom seolah-olah menggambarkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai ‘royal coup’.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, menegaskan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melambangkan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam menyelesaikan kemelut politik negara.

“Ahli MUBARAK memberi sokongan penuh kepada Tuanku (atas pelantikan Muhyiddin) kerana ia keputusan yang bijak, dibuat secara terbuka dan demokratik. Sebab itu kami tidak rasakan ia satu ‘royal coup’.

“Ini kebijaksanaan Tuanku menyelesaikan masalah. “Itu (keputusan Seri Paduka) termaktub dalam peruntukan perlembagaan dan bukannya di luar kerangka perlembagaan persekutuan. Cara Tuanku mengendalikan krisis ini adalah sangat hebat dan telus,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply