Input your search keywords and press Enter.

Jangan Cetus Panik Dengan Berita Palsu COVID-19

M Update, 9/3/2020 – Orang ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu berkaitan COVID-19 yang memasuki fasa gelombang kedua, bagi mengelak situasi panik di negara ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penyebaran berita palsu akan mencetuskan kebimbangan dan menjejaskan sektor perniagaan, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kononnya pusat beli-belah tidak selamat dikunjungi hanya akan mewujudkan panik, seterusnya orang awam tidak mahu keluar dari rumah sebab takut dijangkiti COVID-19.

“Ini akan menjejaskan perniagaan di pusat beli-belah itu yang pastinya tidak elok untuk ekonomi negara,” katanya semalam.

Rabu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, negara kini memasuki gelombang kedua COVID-19 bermula 27 Februari lalu selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu. Gelombang pertama jangkitan COVID-19 di negara ini merangkumi 22 kes manakala gelombang kedua membabitkan satu kluster yang dikenal pasti dengan kes ke-26.

Lam Thye mencadangkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis membuat pemantauan lebih kerap dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang menyebar berita palsu. Beliau menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat membantu kerajaan untuk mencegah penyebaran COVID-19 dengan mengikuti nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan. – BH Online

Leave a Reply