Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Akan Pastikan Bicara Kes Adib Dipercepatkan – Zuraida

M Update, 12/3/2020 – Kerajaan akan memastikan kes perbicaraan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dapat dipercepatkan susulan pelantikan Peguam Negara yang baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan proses bagi memulakan sesi perbicaraan kes anggota bomba terbabit di mahkamah sebelum ini memakan masa.

“Ketika itu di bawah Peguam Negara yang lama (Tan Sri Tommy Thomas), dia mengambil masa sedikit untuk memulakan sesi perbicaraan dan kita harap perbicaraan (kes) ini dapat dipercepatkan.

“Peguam Negara (AG) yang baharu sudah dilantik dan kita akan bawa (kes itu) kepada AG yang baharu. Saya belum berjumpa dengan AG yang baharu namun akan berbuat demikian terdekat ini,” katanya semalam.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ketibaan Menteri dan Timbalan Menteri Baharu di Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia setelah tiga minggu bertarung nyawa ekoran kecederaan parah dialaminya akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 November dua tahun lalu. Anggota bomba terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. – SH Online

Leave a Reply