Input your search keywords and press Enter.

Covid-19: Tentera Tidak Terbabit Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

M Update, 17/3/2020 Penugasan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan koronavirus baharu (Covid-19) tidak membabitkan anggota tentera, sebaliknya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, buat masa ini, PDRM akan menentukan semua (tugas) penguatkuasaan susulan pengumuman perintah itu. Beliau turut menjelaskan yang pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota tentera di sempadan serta perairan negara.

“Operasi di sempadan serta perairan negara akan berjalan seperti biasa, namun ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak,” katanya.

Affendi berkata demikian kepada Bernama selepas diminta mengulas adakah anggota ATM terbabit dalam menguatkuasakan perintah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi. Muhyiddin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu. Perintah kawalan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Peningktan kes Covid-19 meningkat secara mendadak di negara ini iaitu 190 kes baharu dilaporkan semalam dan hari ini sebanyak 125 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti setakat 12 tengah hari ini ialah 553 orang. Seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pulih.

Leave a Reply