Input your search keywords and press Enter.

Agong, Permaisuri Rakam Ucapan Takziah Susulan Kematian Mangsa COVID-19

M Update, 18/3/2020 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, Selasa lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia terus berdoa bersama baginda memohon ihsan Allah supaya usaha membendung wabak COVID-19 dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya petugas di barisan hadapan yang berkerja dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah,” katanya.

Malaysia mencatatkan 673 kes COVID-19 sehingga semalam dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengisytiharkan kematian pertama akibat wabak COVID-19, membabitkan dua lelaki.

Terdahulu, baginda berdua berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM di Putrajaya. Keberangkatan baginda berdua di CPRC disambut Dr Adham, Timbalan Menteri I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri II Datuk Aaron Ago Dagang. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadil berkata ketika di CPRC, Al-Sultan Abdullah diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak COVID-19.

“Sebagai maklumat balas, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa baginda sudah berbincang dengan Perdana Menteri semasa sesi Pra-Kabinet berkenaan status bekalan perubatan dan disembah maklum bahawa peruntukan akan disediakan mengikut keperluan perubatan semasa,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply