Input your search keywords and press Enter.

Kedai Gunting Rambut, Salun & Cermin Mata Tak Dibenarkan Beroperasi

M Update, 13/4/2020 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

“Kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan sudah mendengar suara rakyat. Kerajaan juga mendengar nasihat daripada pakar tertentu dan pandangan NGO mengenai perkara ini.

“Justeru, Perdana Menteri sudah membuat keputusan iaitu kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini dilaksanakan.

“Saya kira ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, maka Perdana Menteri sendiri memutuskan tidak ada lagi isu berkaitan kedai gunting rambut dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan ramai berikutan kebimbangan kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di premis berkenaan.

Semalam, majoriti pengusaha kedai gunting rambut, dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai, berbanding menjalankan operasi dan berdepan risiko penularan jangkitan COVID-19 ketika PKP fasa ketiga berkuat kuasa hingga 28 April ini. – BH Online

Leave a Reply