Input your search keywords and press Enter.

PKPD Ke-6: Pusat Bandar Utara, Sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur

M Update, 20/4/2020 – Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, pihak berkuasa dilihat memperketatkan kawalan di kawasan Taman Sri Murni dekat Pasar Borong Selayang, di sini sejak jam 12 tengah malam tadi. Seorang anggota polis yang ditemui ketika tinjauan BH memaklumkan pihaknya menerima arahan untuk memperketatkan kawalan di kawasan itu, semalam.

Tinjauan BH mendapati kawat duri dipasang di laluan keluar dan masuk kawasan perumahan itu. Turut berada di lokasi, beberapa anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal situasi semasa. Hanya penduduk yang mempunyai alasan munasabah termasuk hal kecemasan dibenarkan keluar dan masuk kawasan terbabit.

Sementara itu, satu kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebut mengenai arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menutup sementara Pasar Borong Kuala Lumpur dari 20-24 April ini dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. Dalam tempoh penutupan, lori pemunggah dan pelesen tidak dibenarkan memasuki kawasan pasar berkenaan. – BH Online

Leave a Reply