M Update, 22/4/2020 – Masyarakat perlu memberi perhatian dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan denggi walaupun negara ketika ini sedang berdepan wabak COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebersihan kawasan perumahan dan persekitaran perlu dititik beratkan supaya kes denggi dapat diturunkan.
“Denggi masih menular dalam komuniti kita. Kita sarankan, pastikan buat pembersihan di perumahan dan persekitaran.
“Katakanlah apabila kita tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, yang penting adalah mereka pulang ke pejabat dan pastikan persekitaran bersih daripada jangkitan atau pembiakan nyamuk di kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini. Dr Noor Hisham ditanya mengenai kebimbangan rakyat ketika ini yang tertumpu kepada COVID-19, sedangkan kes denggi masih berlaku di negara ini. -BH Online