Input your search keywords and press Enter.

Peniaga e-bazar Ramadan Perlu Ambil Suntikan Tifoid – Dr Noor Hisham

M Update, 22/4/2020 – Pengendali e-bazar Ramadan perlu mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan termasuk mendapatkan suntikan vaksin anti-tifoid.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peraturan itu sudah sedia digariskan dan adalah syarat yang mesti dipatuhi dalam aspek pengendalian makanan.

“Kalau mereka kendalikan makanan, pasti kena ikut peraturan yang diberi Kementerian Kesihatan termasuk suntikan tifoid dan sebagainya. Kita ada peraturan itu dan mereka perlu mematuhinya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Peniaga makanan yang mengambil peluang menjana pendapatan ketika Ramadan melalui e-bazar bukan sahaja dikehendaki mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah perlu mengambil suntikan tifoid supaya tiada jangkitan penyakit bawaan makanan dilaporkan.

Kebimbangan itu berikutan tidak semua perniagaan e-bazar berdaftar, selain tiada pengawasan dibuat terhadap tukang masak atau penghantar makanan.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia penting ketika negara berdepan krisis kesihatan COVID-19 ketika ini bagi mengelakkan keadaan bertambah parah dengan jangkitan penyakit lain. – BH Online

Leave a Reply