Input your search keywords and press Enter.

Gagal Jalani Saringan COVID-19 Kali Kedua : KKM Tahu Di Mana Anda

M Update, 2/7/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai data lengkap, termasuk alamat kediaman lebih 1,400 rakyat Malaysia yang dikuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi gagal menjalani saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan pihaknya maklum mengenai lokasi terkini kumpulan berkenaan dan sedang mengesan mereka.

“Kita akan lakukan pengesanan kenapa mereka tak hadir menjalani saringan kedua COVID-19 serta ke Pusat Kesihatan Daerah dan sebagainya.

“Kita ada berkomunikasi dengan mereka supaya hadir ke klinik kesihatan atau swasta untuk menjalani saringan kedua COVID-19 pada hari ke-13 dikuarantin dan keputusan perlu dikemukakan ke Pusat Kesihatan Daerah pada hari ke-14.

“Semua syarat dikenal pasti sudah diberi kepada mereka, tetapi kepatuhan itu yang penting. Kita ada data dan tahu di mana mereka berada,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu, polis dilapor akan memburu kumpulan berkenaan kerana golongan itu wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.

Jika gagal berbuat demikian, mereka dianggap melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – BH Online

Leave a Reply