Input your search keywords and press Enter.

Agong Zahir Sokongan Langkah Tegas Kerajaan Kekang Kemasukan PTI

M Update, 16/7/2020 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan sokongan terhadap langkah tegas kerajaan dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan membanteras jenayah rentas sempadan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Seri Paduka mengambil maklum berkenaan pelaksanaan operasi bersepadu Operasi Benteng (Op Benteng) yang diterajui bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini. 

Operasi berkenaan bertujuan mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19 yang dikhuatiri dibawa warga asing yang masuk secara haram.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kerajaan terus memperhebat usaha tersebut dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap soal keselamatan rakyat dan negara kerana terdapat beberapa negara yang masih berisiko tinggi COVID-19.  

“Seri Paduka Baginda amat menghargai usaha-usaha baik kerajaan, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkaitan khususnya petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19 selama ini dan usaha-usaha tersebut perlu ditambah baik dengan langkah-langkah susulan seperti Op Benteng, contohnya,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka bagaimanapun menzahirkan rasa kesal dengan kes-kes penangkapan beberapa anggota PDRM dan ATM yang disyaki terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang tanpa izin baru-baru ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan terhadap tindakan penangkapan tersebut bagi membanteras jenayah rentas sempadan negara kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkait dengan keselamatan rakyat dan negara,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan anggota penguat kuasa agensi-agensi kerajaan sepatutnya memikul tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan disiplin.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu pihak kerajaan dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu pendatang tanpa izin.– BERNAMA