M Update, 16/7/2020 – Sikap keprihatinan dan perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia ketika berdepan pandemik COVID-19 perlu diteruskan agar nilai itu terus subur dalam diri masyarakat, seterusnya dapat memperkukuhkan keharmonian negara.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata nilai seumpama itu tidak wajar terhenti selepas menghadapi krisis tetapi seharusnya ia dijadikan sebagai prinsip jati diri setiap rakyat Malaysia.
Ketika menjadi panel jemputan dalam program Bicara Politikonomi bertema Malaysia Prihatin terbitan RTM menerusi TV1 malam ini, beliau turut menyeru rakyat agar menghayati dan mengamalkan setiap prinsip Rukun Negara untuk menyemarakan nilai murni itu.
Sementara itu, mengenai persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, Zahidi berkata sambutan tahun ini akan disambut secara berbeza dengan penerapan amalan normal baharu.
Justeru, katanya, pelbagai program khususnya melibatkan media massa telah dirangka bagi menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan walaupun negara masih dalam usaha mengekang penularan COVID-19. — BERNAMA