Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Mahu Lahir Ramai Usahawan Desa – PM

M Update, 13/11/2022 – Kerajaan akan terus berusaha memajukan kawasan luar bandar di seluruh negara secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fokus itu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan luar bandar seiring dengan dasar ditetapkan.

Justeru katanya, pelbagai tindakan dilakukan termasuk peruntukan RM10.93 bilion dalam Bajet 2023 meningkat empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun ini.

Peruntukan itu katanya antara lain untuk menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar sebanyak RM2.55 bilion.

“Pembinaan baharu dan baik pulih rumah akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta.

“Selain itu, peruntukan itu untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM472 juta dan Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif berjumlah RM381 juta.” Katanya ketika berucap merasmikan Mini Kanival Usahawan Desa Di Bera 2022, di Laman Kerayong, Bera hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga komited memberi fokus kepada elemen keusahawanan untuk memancu ekonomi luar bandar.

“Saya sering membayangkan penduduk kampung menceburi pelbagai bidang ekonomi bukan hanya aktiviti tradisional seperti bertani, menoreh getah atau nelayan kecil.

“Sebaliknya bidang keusahawanan menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi sebagai sumber pendapatan berterusan dan memberikan manfaat meluas kepada penduduk luar bandar.” katanya.

Impian itu jelas beliau hanya boleh dicapai jika negara ditadbir kerajaan yang mempunyai matlamat jelas untuk memastikan semua kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti mana dirumuskan Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu Wawasan, Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030. – BuletinTV3