Input your search keywords and press Enter.

Bayaran Fasa Ke-3 BSH 2020 Mulai Jumaat

M Update, 21/7/2020 -Bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 fasa ketiga akan dibuat mulai Jumaat ini berdasarkan kategori BSH 2020 yang merangkumi bilangan anak tanggungan dan baki nilai BSH 2020 yang akan diterima.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan ia membabitkan peruntukan RM3 bilion dan memanfaatkan hampir 4.28 juta penerima BSH yang merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 0.53 juta individu bujang berusia 40 hingga 59 tahun.

“Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah,” menurut kementerian berkenaan.

BSH 2020 memperuntukan tambahan sebanyak RM120 bagi setiap anak berumur 18 tahun ke bawah dan terhad kepada empat anak.

“Bayaran BSH 2020 lebih bersasar kerana turut mengambil kira bilangan anak yang layak dalam setiap keluarga,” kata kementerian itu lagi.

Contoh diberikan, sekiranya Encik Ali berpendapatan di bawah RM2,000 dan mempunyai empat anak yang layak, beliau akan menerima RM1,580 merangkumi pembayaran RM300 pada fasa pertama (Januari), RM200 pada fasa kedua (Mac) dan RM1,080 pada fasa ketiga (Julai).

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing yang didaftarkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran boleh dituntut secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember depan. Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos hingga 6 September.

“Dengan adanya proses rayuan, sebahagian daripada mereka yang ditolak permohonan, masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disemak semula oleh LHDN,” katanya.

Katanya, permohonan rayuan BSH 2020 boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my atau pemohon boleh hadir di mana-mana cawangan LHDN/ Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar(UTC).