M Update, 21/7/2020 – Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat-tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Beliau berkata perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa menasihatkan dan mengingatkan antara satu sama lain (memakai pelitup separuh muka).
“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup (separuh) muka ketika keluar dari rumah, jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP.
Perutusan itu disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan iaitu saluran Bernama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro Awani. Muhyiddin turut menyarankan majikan memantau pekerja dan mengingatkan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Di sekolah pula, pengetua, guru besar, guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, katanya.
“Saya juga nak mengingatkan ketua kampung, imam dan ketua komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa misalnya, boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk masing-masing,” katanya.
Perdana menteri juga percaya sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, negara akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya.
Jelasnya negara baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan, yang mana ekonomi kembali rancak dan rakyat dapat menikmati semula kehidupan harian dengan mengamalkan kebiasaan baharu.
“Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi, pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19. Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan amalan kebiasaan baharu atau ‘new normal’ mesti diteruskan.
“Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup (separuh) muka di tempat awam. Pakailah. Jangan tak pakai. Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.
“Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan. Saya selalu berpesan supaya semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat dan sanak-saudara,” katanya.
Amalan-amalan tersebut, walaupun baik dari segi pergaulan sosial, amat tidak baik dari segi usaha melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling daripada dijangkiti virus COVID-19, katanya. – BERNAMA