M Update, 3/8/2020 – Saman yang dikenakan terhadap individu kerana tidak memakai pelitup muka di dalam kenderaan persendirian akan dibatalkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semalam, pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan bagi kenderaan persendirian.
“Semalam, ada yang disaman (tidak memakai pelitup muka) ketika berada di dalam kenderaan persendirian. Kita sudah berbincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan (KKM), polis akan membatalkan saman berkenaan.
“Kalau mereka sudah pun membayar kepada KKM, ia boleh dituntut semula,” katanya pada sidang akhbar PKPP, di Parlimen, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang bersesak dan ketika berada dalam kenderaan awam. – BH Online