Input your search keywords and press Enter.

Hup Wei Raih Emas Di Kazakhstan, Jonathan Rangkul Perak

Lee Hup Wei

M Update, 21/06/2021 – Lee Hup Wei terus memperkukuh peluangnya bertanding di Sukan Olimpik Tokyo selepas memenangi acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, semalam.

Atlet berusia 34 tahun itu meraih pingat emas selepas melakukan lompatan melepasi ketinggian 2.10 meter, namun agak jauh di bawah prestasi terbaiknya iaitu 2.29 meter yang dicatat pada 2019.

Keputusan itu menyaksikan sedikit peningkatan berbanding aksi terbaiknya musim ini iaitu 2.05 meter di Grand Prix Olahraga Terbuka Malaysia pada April lalu. Namun agak malang bagi Hup Wei apabila kakinya terseliuh semasa pertandingan itu.

Timur Rakhmatullaev dari Uzbekistan pula meraih perak meskipun mencatat keputusan sama iaitu 2.08 meter dengan Alexandr Timoshin dari Kazakhstan berdasarkan kiraan semula lompatan.

Sementara itu, pelari pecut negara Jonathan Nyepa dan Muhammad Ilham Suhaimi masing-masing merangkul perak dan gangsa dalam acara 200 meter lelaki. Jonathan, yang turut meraih perak menerusi acara 100 meter semalam, mencatat masa 21.76 saat manakala Muhammad Ilham menamatkan larian dengan catatan masa 21.92.

Jonathan Nyepa

Atlet Kazakhstan, Vitaliy Zems merangkul emas dalam acara itu dengan catatan masa 21.19 saat.

Dalam acara lompat kijang lelaki, Muhammad Hakimi Ismail terlepas podium dengan perbezaan 0.19 sentimeter selepas melakukan lompatan sejauh 15.62 meter.

Atlet Iran, Hamid Reza Kia meraih emas dengan lompatan sejauh 16.18 meter manakala Ivan Denisov dan Islam Sibagatullin, kedua-duanya dari Uzbekistan, masing-masing memungut perak dan gangsa dengan lompatan sejauh 16.10 meter dan 15.81 meter.

Pengurus pasukan, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata temasya itu memenuhi matlamat untuk memberikan pendedahan yang amat diperlukan oleh atlet selepas lebih setahun tidak menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa susulan pandemik COVID-19. Secara keseluruhan, ia adalah pendedahan yang baik untuk atlet namun mereka memerlukan lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa selain sokongan berterusan daripada semua pihak.

Muhammad Ilham Suhaimi

Hup Wei berjaya memperoleh mata tambahan untuk ranking dunianya (ke arah kelayakan ke Sukan Olimpik). Selepas ini, kami perlu merawat kecederaan yang dialami oleh Andre Anura Anuar, Hup Wei dan Hakimi. Hup Wei dijangka pulih dalam tempoh seminggu atau dua minggu manakala Hakimi mengalami spur tulang dan Andre mengalami kecederaan hamstring berulang,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Connie Chu Kang Ni menggondol emas dalam acara lempar cakera manakala Rayzam Shah Wan Sofian menduduki tempat ketiga dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki.

– BERNAMA