Input your search keywords and press Enter.

Sabar, Jangan Bunyi Hon Jika Terserempak Gajah – PERHILITAN

M Update, 3/8/2020 – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak menasihatkan pemandu kenderaan terutama pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) supaya bersabar sekiranya terserempak gajah di jalan raya.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, antara tindakan penting ketika berdepan dengan situasi itu ialah bertenang, jangan panik dan membuat provokasi yang boleh menyebabkan gajah rasa diancam. Katanya, pemandu turut diingatkan supaya bersabar sementara menunggu gajah itu melintas.

“Saya nasihatkan sekiranya berdepan situasi terserempak gajah di tengah jalan, pemandu perlu bersabar, jangan pasang lampu tinggi kalau malam, jangan bunyikan hon dan paling penting jangan cuba halau gajah itu,” katanya ketika diminta mengulas kejadian gajah pijak bonet kereta dinaiki lima orang, malam tadi.

Dalam kejadian di kawasan berhampiran RNR Puncak Banjaran Titiwangsa kira-kira 7 malam tadi itu, mangsa terserempak gajah yang sedang duduk di atas jalan.

Ketika pemandu kenderaan itu memberhentikan kenderaannya berhampiran gajah itu, tiba-tiba sebuah kenderaan di belakangnya membunyikan hon menyebabkan gajah itu agresif. – HM Online